Pages

Friday, January 31, 2014

Mimpi Bertemu Arwah Ahmad Zafran @ Panaharjuna

Selesai aku solat malam, badan aku terasa sakit. Sakitnya sehingga tidak mampu berzikir dan selawat dalam keadaan duduk seperti biasa. Maka aku buat keputusan berselawat sambil baring.

Lalu aku tertidur.

Dalam tidur inilah aku bermimpi berjumpa Arwah Ahmad Zafran, sahabat karibku. Ketika hidupnya, arwah seorang yang ceria dan suka berkongsi ilmu. Namun arwah meninggal pada usia 33 tahun. Sejak arwah meninggal pada tahun 2008, inilah kali pertama aku berpeluang bermimpi berjumpa arwah.

Ketika awal kematian arwah, aku sering berdoa untuk bertemu arwah dalam mimpi kerana perasaan rindu yang amat sangat. Tuhan tunaikan doa aku 5 tahun kemudian. Inilah kali pertama aku mimpi bertemu arwah.

Dalam mimpi itu, arwah kelihatan sangat tenang dengan pakaian hijau. Tak banyak cakap, tetapi banyak senyum.

Aku masih ingat setiap perbualan kami dan aku boleh kawal percakapan aku seperti berada di dunia realiti. Seolah-olah aku berjumpa arwah secara real. Berikut adalah perbualan aku dengan arwah.

Aku:  Eh, kau hidup balik? ( Ketika ini aku konpius jumpa Arwah di depan mata )

Arwah: ( Tersenyum. Kelihatan jelas arwah memakai baju hijau )

Aku: Kau boleh jawab soalan Munkar Nankir?

Arwah: ( Tersenyum )

Aku: Macam mana rupa Malaikat? Badan diorang besar macam Big Show tak?

Arwah: ( Tersenyum )

Ketika itu aku dapat agak dia rasa bahagia di alam barzakh. Kemudian hati aku sebak. Aku terfikir satu soalan yang paling aku nak tahu ketika itu. Air mata aku mengalir dan suara aku tersekat-sekat menahan sebak. Soalan aku...

Aku: Eh, kau ada jumpa Nabi Muhammad tak?

Arwah tersenyum dan kemudian arwah berkata kepada aku. Bukan menjawab pertanyaan aku, sebaliknya menceritakan keadaan arwah di sana.

Arwah: Tempat aku macam makmal ataupun kelas yang amat luas... putih sahaja. Aku duduk dua orang di situ.

Itu sahaja jawapan daripada arwah. Aku tak sempat bertanya siapa yang duduk dengan dia.

Selesai mimpi, aku terus bangun solat Subuh dan call emak arwah. Emaknya ada bermimpi arwah yang kelihatan tenang di sana.

arwah meninggal ketika usianya 33 tahun, kebetulan itulah umur lelaki ahli syurga. Menurut emaknya, pada tahun akhir arwah hidup, dia pernah berkata kepada anak buah kesayangannya. "Kalau pakcik mati, pakcik masuk syurga, 33 tahun umur ahli syurga."

Wallahualam. Pada aku, ini adalah berita gembira buat aku dan sahabat yang mengenali arwah. Aku yakin arwah bahagia di sana.