Pages

Wednesday, August 13, 2014

Melawan sihir

Suatu masa dahulu saya pernah disihir sehingga hampir mencabut nyawa saya. Alhamdulillah, saya bersyukur... disebabkan sihir itu, saya ditunjukkan jalan supaya memperbaiki amalan saya.

Gangguan yang diterima bukan sekadar sakit dan mimpi sahaja. Malahan boleh nampak, mendengar dan bergaduh secara fizikal dengan mereka. Lebih parah, ia menganggu sistem ingatan saya. Sering lupa rakaat dalam solat dan lupa cara tertib berwudhuk. Pernah beberapa kali saya mendengar ceramah ataupun berbual dengan rakan, saya mendengar suara lain yang berbicara. 'Mereka' kontrol otak dan kawalan saraf saya. Kadang-Kadang saya buat apa yang saya sendiri tak tahu apa yang saya buat.

Kalau dibiarkan, samada saya mati ataupun jadi gila.

Alhamdulillah... tuhan sengaja buka hijab itu seketika untuk mendidik saya supaya lebih bergantung kepadaNya. Kini, hijab itu sudah tiada lagi.

Saya diberi petunjuk mengamalkan beberapa surah standard yang biasa digunakan bagi melawan sihir. Ada suara yang berpesan...

"Amalkan surah dan ayat-ayat ini dengan penuh makna tetapi wajib diingat, bukan ayat ini yang menyembuhkan kamu.... Allah yang menyembuhkan kamu. Kalau kamu anggap ayat ini yang menyembuhkan kamu dan hanya mengamalkannya untuk menghalau jin dan syaitan... maka ditakuti kamu bergantung pada ayat, bukan pada Allah."

Saya juga diajar berzikir di dalam hati sepanjang masa. Ia umpama, kita mengisi hati kita dengan kalimah... Lailahaillallah  sepanjang masa samada secara sedar ataupun tidur. Masya-Allah... ini adalah hadiah paling besar bagi orang yang disihir seperti saya. Kalau saya tidak disihir... saya mungkin tidak tahu adanya amalan mulia seperti ini.


Rumusannya di sini. Bergantunglah pada Allah dan selalulah bermanja dengan Allah. Moga dengan memahat kalimah-kalimah Allah dalam jiwa kita... Allah akan melindung kita daripada perbuatan maksiat. Masya-Allah, apa lagi yang lebih bagus untuk hati kita melainkan memahat kalimah Allah dan zikir yang disukai Allah ke dalam hati kita?


Tuesday, August 5, 2014

Cuba selawat sambil menangis ataupun tersenyum

Setiap kali selawat, pilihlah samada mahu mengenang kenangan manis nabi Muhammad ataupun susah payah perjuangan nabi Muhammad. Banyak sejarah suka duka nabi Muhammad. Pilihlah mahu kenang yang mana satu. Selagi kenangan itu membangkitkan rasa cinta kita kepada Nabi Muhammad. Yang pastinya, kenang detik itu sambil hati dan lidah berselawat.

Sekiranya kita mengenang nasihat-nasihat dan berita baik nabi Muhammad, secara spontan mulut kita akan tersenyum lebar... lebar selebar-lebarnya. Suara selawat kita akan menjadi semakin kuat dan sedikit berirama....Kalau dibiarkan, mungkin air mata sejuk akan mengalir di muka kita. Ketika itu, perasaan bahagia pada hati kita akan melampaui segala rasa bahagia kita pernah rasa di dunia ini. Percayalah, aku pernah gembira kerana kahwin dan dapat anak pertama... tetapi bahagia itu tidak boleh melawan rasa bahagia yang ini.

Sekiranya kita mengenang susah payah perjuangan Nabi Muhammad, secara spontan kepala kita akan mengeleng-geleng. Ada suatu ketika, kepala akan tunduk ke bawah tanpa dikawal. Suara akan tersekat-sekat. Jika dibiarkan... air mata panas akan mengalir di pipi. Ketika itu.. kita akan menghargai usaha Nabi Muhammad sepenuhnya. Percayalah, apabila kita mengenangkan hal ini... segala masalah yang kita hadapi menjadi kecil dan akan semakin bersyukur kerana mempunyai nabi sehebat Nabi Muhammad.

Ultimate untuk ini... selawat sambil mengenang ataupun berfantasi  kita berjuang bersama baginda Nabi Muhammad. Tidak kiralah samada berperang bersama ataupun mendengar kuliah baginda. Ketika itu seolah-olah kita akan rindukan kematian dan mahu berjumpa baginda saat itu juga. Bukan mengharapkan kematian sebab tidak tahan ujian dunia.. tetapi mengharapkan kematian kerana rindukan nabi Muhammad.

Sampai satu tahap... kita mampu bertemu Rasullullah di alam mimpi. Masya-Allah... itulah nikmat dunia paling membahagiakan. 

Untuk capai semua ini... banyakkan membaca ataupun mendengar sejarah Nabi Muhammad. Sebelum itu, amalkanlah zikir memuji tuhan supaya hati kita lebih mudah untuk mengenang kekasih Allah ini.

Moga bermanfaat.